Susu boleh dikatakan sebagai keperluan asas dalam kehidupan seharian. Boleh dikatakan majoriti masyarakat di Malaysia mahupun luar negara suka minum susu. Tambahan pula, minuman susu ini berjaya menarik semua golongan masyarakat tidak kira yang muda, yang tua atau kanak-kanak. Disebabkan itu juga, syarikat-syarikat tenusu ini mengeluarkan pelbagai jenis susu yang dipakejkan bagi memikat hati para pengguna.
Minuman susu ini merupakan sumber kalsium yang amat baik selain turut mengandungi vitamin A, B12, riboflavin, fosforus, dan zat besi. Ini menjadikan minuman susu ini merupakan minuman yang sihat. Akibat dari permintaan yang tinggi oleh pengguna, syarikat tenusu ini mengambil kesempatan dengan mengeluarkan perlbagai jenis susu sehinggakan kita keliru pula nak pilih susu yang mana. Yalah, banyak betul jenis susu contohnya jenis full cream, low fat, skim milk, fresh milk, susu UHT, susu tepung dan sebagainya.
Bagi artikel kali ini, admin akan kongsikan dekat anda 7 jenis susu yang biasa kita jumpa dipasaran.
1. Susu Penuh Krim / Full Cream Milk
Susu penuh krim atau full cream milk mengandungi peratusan lemak yang paling tinggi, iaitu sekitar 3.8% secara purata. Disebabkan kandungan lemak yang banyak, susu ini memiliki rasa yang paling lazat berkrim disukai ramai.
Walaupun ramai yang ‘takut’ dengan kandungan lemak yang banyak, namun susu inilah yang paling sesuai untuk anak kecil kerana mereka memerlukan kandungan asid lemak yang terkandung di dalamnya bagi perkembangan optimum tubuh badan mereka.
Selain itu, susu penuh krim ini sesuai digunakan atau dicampurkan ke dalam kopi untuk menghasilkan kopi susu ala barista atau kopi hipster. Sedap!
2. Susu Rendah Lemak / Low Fat Milk
Susu rendah lemak atau low fat milk pula mengandungi kurang lemak di dalamnya, iaitu sekitar 1.3% hingga 1.4% secara purata. Susu low fat lebih sesuai bagi anda yang diet atau dalam proses mengurangkan berat badan kerana ia membantu mengurangkan kadar lemak tepu di dalam tubuh.
3. Susu Skim / Skim Milk
Satu lagi jenis susu yang mungkin kita kurang tahu adalah susu skim atau skim milk. Ia memiliki jumlah lemak yang paling rendah berbanding susu low fat dan susu full cream, iaitu sekitar 0.15% sahaja.
Jika dibandingkan dengan keduanya tadi, susu skim ini rasanya lebih cair. Namun, ia tetap mengandungi protein dan kalsium seperti susu biasa.
4. Susu Segar / Fresh Milk
Susu segar atau fresh milk ini boleh dijumpai di bahagian sejuk pasaraya. Berbanding susu UHT yang diletakkan di rak kering, susu segar ini mempunyai tarikh luput yang lebih cepat, biasanya kurang daripada seminggu. Namun dari segi nutrisinya, ia adalah yang lebih baik berbanding susu UHT.
Susu segar yang dijual di pasaraya telah melalui proses pempasteuran bagi memastikan keselamatan pengguna. Proses ini melibatkan pemanasan melebihi 72 darjah Celsius selama sekurang-kurangnya 15 saat bagi membunuh bakteria yang terdapat dalam susu.
Antara jenama susu segar yang terkenal di Malaysia termasuklah susu Good Day dan Farm Fresh.
5. Susu UHT
Kebanyakan jenis susu kotak yang terdapat di pasaran adalah jenis UHT, iaitu Ultra High Temperature yang merujuk kepada proses yang digunakan untuk merawatnya.
Berbanding susu segar, susu UHT mengalami proses pemanasan pada suhu yang lebih tinggi, iaitu pada takat 135 darjah Celsius selama 1-2 saat bagi tujuan pensterilan. Dengan proses ini, jangka hayat susu dapat bertahan sehingga 5-10 bulan tanpa disimpan di tempat sejuk kecuali setelah ia dibuka.
Terdapat juga susu UHT yang dihasilkan melalui proses rekombinasi atau campuran semula (UHT recombined milk). Ini bermaksud susu tersebut akan dikeringkan menjadi pepejal dan diasingkan kepada serbuk lemak dan pepejal susu sebelum dikombinasikan semula di kilang dan dirawat.
6. Susu Tepung
Susu tepung diperbuat daripada susu segar yang telah melalui proses pengeringan menjadi bentuk serbuk yang mudah disimpan, senang dibawa ke mana-mana dan tahan lama.
Seringkali susu tepung ditambah dengan zat tertentu seperti vitamin dan mineral bagi meningkatkan kualitinya. Bagi susu formula contohnya, ia dilengkapkan dengan pelbagai formulasi agar sesuai dengan peringkat usia bayi yang memerlukan nutrisi khusus seperti DHA dalam menjamin perkembangannya.
7. Susu Berperisa
Susu berperisa adalah susu yang telah dicampurkan dengan bahan tambahan seperti gula, perisa, pewarna dan kondisioner makanan yang dibenarkan.
Ada macam-macam perisa susu yang boleh kita jumpa di pasaran sekarang contohnya susu strawberi, coklat, kopi, kurma, vanila dan sebagainya.
Sedap memang sedap, tapi anda harus berhati-hati dengan kandungan gula yang terdapat di dalamnya!
Semak Label Sebelum Beli
Susu memiliki nutrisi yang baik dan sesuai untuk diamalkan pengambilannya setiap hari. Sememangnya susu segar adalah pilihan yang terbaik, namun ia mungkin kurang sesuai bagi sesetengah orang yang perlu berjimat dan tak punya masa untuk mendapatkannya dengan kerap.
Tak salah mendapatkan nutrisi melalui susu UHT atau susu tepung, tapi elakkan jenis susu yang manis kerana ia biasanya dah ditambah dengan perasa atau gula. Di bahagian ramuannya, pilih yang paling pendek senarainya. Kadangkala, ramai tak sedar bahawa ada kandungan gula ‘tersembunyi’ seperti sukrosa, pepejal sirap glukosa, maltodekstrin, pepejal sirap jagung, sukrosa, dekstrosa, dan macam-macam lagi nama saintifiknya yang mungkin boleh mengelirukan anda.
Jadi, lepas ni kalau nak beli susu, sentiasalah periksa labelnya ya!
Jangan lupa untuk follow kami di FACEBOOK, INSTAGRAM dan SHOPEE